BERNAMA - 18 Jun, 2008 23:03 PM
Kerajaan Cadang Gubal Dasar Tenaga Nasional, Guna Nuklear
KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Kerajaan sedang mengubal Dasar Tenaga Nasional yang dijangkakan siap Ogos ini, yang antara lain membabitkan cadangan menggunakan tenaga boleh diperbaharui bagi menangani peningkatan harga minyak mentah.
Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Mansor berkata kementerian itu dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi juga dijangka membentangkan adangan penggunaan tenaga nuklear kepada Kabinet, sebagai tenaga konvensional alternatif.
"Kita memerlukan arah jelas (dalam perancangan tenaga negara)," katanya kepada pemberita selepas penutupan Sidang Kemuncak Elektrik 2008, di sini, katanya.
Menurut Shaziman, kebiasaannya ia mengambil masa antara 15 dan 20 tahun untuk sesebuah negara merealisasikan penggunaan tenaga nuklear, dan sekarang adalah masa yang tepat untuk kerajaan mengkaji kemungkian menggunakannya selepas 2020.
"Jika kita bercadang menggunakan tenaga nuklear, kita perlu bersedia sekurang-kurang dengan mewujudkan kesedaran awam. Dan dari segi keselamatan, kita perlu memikirkan cara melupuskan sisanya dan banyak urusan lain," katanya.
Beliau berkata Malaysia perlu menimbang perkara itu secara berhati-hati kerana penggunaan tenaga nuklear membabitkan peraturan yang ketat.
Shaziman bagaimanapun berkata negara ini masih mempunyai sumber tenaga lain yang belum digunakan sepenuhnya.
"Dalam tempoh 10 tahun akan datang, kita menunjurkan hampir satu pertiga daripada keperluan elektrik negara akan dibekalkan menerusi sumber hidro," katanya.
Berdasarkan sumber tenaga fosil yang semakin berkurangan, harga naik turun dan pertumbuhan ekonomi yang tinggi dan tidak menghairankan dengan potensi tenaga hidro melebihi 22,000 MW, negara beralih kepada tenaga hidro sebagai sumber utama penjanaan elektrik, katanya.
Sehingga ini negara berjaya menjana kira-kira 2,100 MW daripada loji tenaga hidro yang kebanyakannya terletak di Semenanjung.
"Pada masa depan, kami yakin projek hidro elektrik Bakun yang membekalkan 2,400 MW yang beroperasi menjelang akhir 2010 akan membekalkan tenaga elektrik di Sarawak dan menjelang 2014 diperluaskan ke Semenanjung menerusi kabel dasar laut.
"Banyak tempat di Sarawak boleh menjana tenaga hidro dan kita perlu menggunakannya sebaik mungkin kerana ia juga mesra elam sekitar," katanya.
Dalam perkembangan lain, Sahziman juga menjelaskan jika Malaysia menyahkawal pasaran elektrik, ia perlu menurunkan harga untuk pengguna am. "Andai ia merupakan objektif utama, saya menyokongnya. Namun saya pasti tidak mahu pasaran diliberalisasi atau dinyahkawal jika ia akan menyebabkan harga elektrik meningkat."
"Objektif asas pembukaan lebih banyak sektor elektrik sewajarnya memberikan manfaat saingan kepada pengguna dalam bentuk tarif yang lebih rendah," katanya.
Beliau juga mencadangkan supaya kajian bebas dijalankan bagi mengkaji bagaimana industri bekalan elektrik Malaysia perlu dimajukan.