Kerajaan Sedia Bangun Sumber Nuklear Sebagai Sumber Tenaga Baru
( 9/7/2008 )
KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Kerajaan bersedia untuk membangunkan Tenaga Boleh Diperbaharui (TBP) termasuk sumber nuklear melalui Dasar Tenaga Nasional yang baru dan komprehensif.
Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Joseph Salang Gandum berkata negara perlu mencari sumber bekalan tenaga yang lebuh murah berbanding minyak dan gas asli yang harganya kian meningkat berkali ganda.
"Sumber tenaga pada masa hadapan di negara ini sedang dikaji dan kemungkinan guna nuklear sebagai tenaga lepas 2020 tidak harus ditolak memandangkan ia sekarang dianggap 'clean energy'," katanya ketika menggulung ucapan penangguhan di persidangan Dewan Rakyat, hari Rabu.
Menurutnya selaras dengan komitment terhadap pembangunan tenaga secara mampan, kerajaan memutuskan untuk beransur-ansur mengurangkan kebergantungan kepada bahan api sekarang sebagai sumber bekalan tenaga.
"Gas yang menjadi bahan api utama dijangka turun daripada 70.2 peratus pada 2005 kepada 55.9 peratus pada 2010 manakala sumbangan TBP termasuk hidro pula dijangka meningkat kepada 7.4 peratus pada 2010," katanya.
Beliau berkata kerajaan juga merancang untuk mendapatkan bekalan elektrik daripada sumber hidro khususnya dari Sarawak dengan jumlah kapasiti 5,000 megawat menjelang 2020.
Terdahulu, ketika ucapan penangguhan, Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) berkata kerajaan perlu merangka Dasar Tenaga Nasional yang baru bagi membolehkan tumpuan diberikan kepada usaha menggiat dan membangunkan lagi penggunaan TBP.
Menurutnya berikutan peningkatan tinggi harga minyak dan gas asli yang menjadi penjana utama bekalan tenaga di negara ini maka pelbagai program bagi membangunkan TBP dibuat.
"Selain usaha penjimatan tenaga, kita juga boleh melaksanakan usaha-usaha dari bahagian penawaran (supply side) iaitu melalui penggunaan TBP, yang merangkumi biomass, bio-gas, tenaga suria, angin, hidro dan oksigen yang dihasilkan dari air laut," katanya.
Khairy berkata langkah-langkah proaktif perlu bermula sekarang yang bertujuan untuk mengatasi halangan penggunaan TBP yang antaranya isu berkaitan kos pemindahan kepada tenaga baru, impak kepada polisi negara dan juga pendidikan penggunaan dan penerimaan rakyat untuk sumber tenaga baru.