Korea Tawar Bantuan Latihan Dalam Bidang Nuklear Kepada Malaysia
( 8/8/2008 )
BANGKOK, 8 Ogos (Bernama) -- Korea Selatan, yang memperoleh 40 peratus tenaga dari sumber nuklearnya, telah menawarkan bantuan kepakaran teknikal untuk melatih jurutera Malaysia dalam pengurusan tenaga nuklear, kata Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Joseph Salang Gandum.
Katanya Korea Selatan, yang memiliki 20 loji nuklear dan merancang untuk menambah lapan lagi, bersedia mengambill rakyat Malaysia untuk mengikuti latihan di Agensi Tenaga Nuklear di negara itu.
"Kami akan mengkaji tawaran itu. Kita kini mempunyai banyak sumber tenaga dan menjangkau 2020, kita tidak menolak kemungkinan memerlukan nuklear untuk menjana kuasa tenaga di Malaysia," katanya pada hari terakhir Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga Asean di sini Khamis.
Salang berkata tawaran bantuan latihan itu diterima semasa perbincangannya dengan Naib Menteri Bagi Perdagangan dan Tenaga Korea Selatan, Dr Lee Jae Hoon, di sini.
Salah satu kriteria penting dalam pembangunan tenaga nuklear ialah jumlah sumber tenaga yang mencukupi untuk menguruskan kemudahan loji nuklear, katanya, sambil menjelaskan Malaysia mempunyai jurutera nuklear terlatih pada tahun 1970an dan kini kebanyakan mereka sudah bersara.
"Saya dimaklumkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menghantar beberapa juruteranya untuk mengikuti latihan di Korea Seklatan. Kita memerlukan kepakaran sendiri tanpa bergantung sepenuhnya kepada pakar asing," katanya.
Sebelum Malaysia melangkah ke program tenaga nuklear, Salang berkata rakyat Malaysia perlu menerima penggunaan sumber itu dengan wujudnya sistem pelupusan sisa nuklear dan radioaktif yang berkesan serta tenaga kerja yang berpengetahuan dalam bidang itu.
"Tetapi isu utama merupakan dari segi kos penggunaan tenaga nuklear kerana buat masa ini kos itu tidak begitu berbeza dengan stesen janakuasa hidro, elektrik, stesen janakuasa arang batu dan stesen janakuasa gas," katanya.
Misalnya, katanya, kos sekilowatt dari tenaga nuklear di Korea Selatan ialah 10 sen, penggunaan arang batu (11 sen) di Malaysia manakala kos penggunaan sumber gas adalah empat kali ganda dari tenaga nulear.
Pada mesyuarat itu, Salang berkata negara-negara anggota Asean juga bersetuju untuk menyemak semula Perjanjian Keselamatan Petroleum Asean (APSA)yang diperkenalkan pada 1986 dan dijangka ditandatangani pada Sidang Kemuncak Asean di Bangkok Disember ini.
"Mengikut aturan secara sukarela itu, jika stok penimbal minyak negara anggota menurun kepada 20 peratus, mereka boleh meminta bantuan negara anggota lain dengan syarat cuba mengatasi sekurang-kurangnya 10 peratus menerusi penjimatan tenaga," katanya.
-- BERNAMA