TNB Perlu 2 Tahun Kaji Kemungkinan Penubuhan Loji Nuklear
Oleh Umi Hani Sharani
KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Tenaga Nasional Bhd akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun untuk mengkaji penubuhan loji nuklear sebelum benar-benar menjadikan rancangan itu satu kenyataan.
Presiden dan ketua pegawai eksekutifnya, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh, berkata firma utiliti itu telahpun memulakan penyelidikan awal dan melatih beberapa kaki tangan ke arah teknologi nuklear.
"Kerja penyiasatan awal akan mengambil masa yang panjang, sekurang-kurangnya dua tahun. Nuklear bukanlah sesuatu yang boleh kita buat dalam sekelip mata," katanya kepada Bernama semasa Persidangan Anggota Perkhidmatan Awam Ke-13 di sini, hari ini.
Che Khalib berkata masanya masih terlalu awal untuk memilih lokasi yang sesuai bagi loji itu dan mengumumkan nama rakan kongsi usaha sama yang mungkin ditubuhkan.
Sebelum ini, ketua Pasukan Petugas Tenaga Nuklear TNB, Dr Mohd Zam Zam Jaafar, dilaporkan berkata bahawa penggunaan tenaga nuklear selepas 2020 lebih merupakan keperluan daripada kebarangkalian memandangkan harga minyak yang tinggi.
Beliau berkata kerajaan telah meminta TNB mengkaji kuasa nuklear, yang boleh menjadi sumber tenaga elektrik pada masa akan datang.
-- BERNAMA